SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengarahkan sebuah premis kilang untuk segera menghentikan pelepasan efluen yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai, serta melaksanakan kerja pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang, susulan insiden air berwarna putih yang dikesan di Sungai Langat petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata arahan tersebut, dikeluarkan LUAS kepada premis tersebut berdasarkan Seksyen 121 (1) Enakmen LUAS 1999 dan proses pembersihan sedang dilakukan oleh pihak kilang tersebut.

Beliau berkata perkara itu dilakukan susulan maklumat yang diterima LUAS daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), berhubung insiden air berwarna putih yang dikesan di Sungai Langat pada jam 3.30 petang tadi.

"Siasatan LUAS telah menemukan aliran air sungai berwarna putih dan bau seakan-akan klorin di kawasan Sungai Langat. Hasil siasatan pihak LUAS mendapati punca insiden aliran air berwarna putih adalah disebabkan terdapat pelepasan efluen daripada 'sump' milik sebuah premis kilang, yang melepaskan aliran air putih ke sungai tanpa melalui titik pelepasan akhir efluen premis yang ditetapkan," katanya.

Susulan itu, beliau berkata Kod Kuning selaras dengan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor diaktifkan, melibatkan pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Alam Sekitar.

"LUAS telah menjalankan tiga pensampelan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa lanjut, dan LUAS akan membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun," katanya.

Beliau berkata anggaran jarak lokasi punca pencemaran (premis berkenaan) ke tiga muka sauk terdekat iaitu, LRA Semenyih 2 (18 kilometer (km); LRA Bukit Tampoi (29.5km) dan LRA Labohan Dagang dalam anggaran 40.9km.

"Tindakan pantas kawalan di tapak, telah berjaya mengelakkan potensi henti tugas LRA. Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS, bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air Selangor terpelihara," katanya.

-- BERNAMA